Sebaik manapun sesuatu makanan itu, ia tetap akan memudaratkan kesihatan jika diambil secara "berlebihan" - Dr Andrew Weil

Sunday, December 16, 2012

KHASIAT TEH CHAI...



Kini Teh ‘Chai” semakin popular di seluruh dunia, terutamanya di kalangan mereka yang mementingkan kesihatan diri.



Apa itu Teh “Chai”?


Teh Chai atau boleh juga dipanggil ‘Teh Berempah’ adalah air teh yang dicampur dengan pelbagai jenis rempah ratus yang dikatakan sangat bermanfaat dari segi kesihatan.

Berasal dari India sejak ribuan tahun dulu, kini teh chai semakin digemari sebagai teh tonik bagi kesihatan badan kerana ia membantu memperbaiki sistem penghadaman, meningkatkan sistem imun badan, anti-radang, anti-bakteria dan anti-kanser, di samping mempunyai ciri antioksidan dan boleh memberikan ketenangan jiwa kepada peminumnya.

Ramuan asas bagi teh chai ialah air teh hitam, halia, buah pelaga, jintan manis, bunga cengkih dan lada hitam. Namun begitu, rempah-ratus dan herba lain juga boleh ditambah ke dalam ramuan teh chai ini mengikut selera masing-masing.

Mari kita lihat kelebihan setiap bahan asas yang digunakan dalam ramuan teh chai yang menjadikannya sangat baik untuk kesihatan secara menyeluruh.

Teh hitam

Teh hitam banyak mengandungi antioksidan, membantu meningkatkan kolesterol HDL yang sihat, membantu mengekalkan jantung yang sihat, mempunyai sifat anti-virus, anti-kanser dan anti-radang.

Halia

Halia membantu sistem penghadaman, memperbaiki peredaran darah, membuang angin, meningkatkan sistem imun, mengurangkan keradangan terutamanya bagi warga tua yang mempunyai arthritis. Halia juga mempunyai ciri antioksidan yang boleh membantu melawan sel kanser.

Buah pelaga


Buah pelaga membantu merangsang sistem penghadaman dan sistem imun badan, penyahtoksikan badan dan memperbaiki peredaran darah, melawan alergi dalam sistem pernafasan, mengandungi ciri antioksidan dan anti-mikrob.

Kulit kayu manis

Kulit kayu manis bersifat panas dan baik untuk sistem penghadaman. Ia juga berfungsi membantu menseimbangkan gula dalam darah, selain mempunyai ciri antioksidan, anti-radang dan anti-bakteria.

Jintan manis

Jintan manis merupakan sumber antioksidan yang baik, selain daripada mengandungi vitamin C, potassium dan fiber, serta mempunyai ciri anti-kanser.

Bunga cengkih

Bunga cengkih berfungsi membantu sistem penghadaman, mempunyai ciri mengurangkan rasa kesakitan (terutamanya apabila sakit perut, gigi atau ulser) serta bertindak sebagai antiseptik.

Lada hitam

Kajian terkini menunjukkan lada hitam membantu metabolisma badan, terutamanya dalam mengawal pengumpulan lemak, membantu penghadaman, dan juga mempunyai ciri antioksidan dan anti-bakteria.


Ramuan Teh Chai Asas (buat sendiri)

Bahan rempah-ratus

5 sudu makan buah pelaga
2 sudu makan bunga cengkih
1 sudu makan jintan manis
5-8 batang kulit kayu manis (2″ panjang)
1/8 – 1/4 sudu teh biji lada hitam
2 kuntum bunga lawang
1 – 1 1/4 sudu teh halia kisar

Caranya :

1. Campurkan semua bahan di atas, kecuali halia kisar, dan panaskan dalam kuali dengan api yang perlahan selama lebih kurang 3 minit sehingga terbit bau.

2. Campurkan halia kisar dan kisar semua sekali.

3. Simpan dalam bekas bertutup di dalam peti sejuk, boleh tahan sehingga 4 bulan.

Cara membuat air minuman Teh Chai

1. Campurkan 1 cawan susu segar dengan 1 sudu makan ramuan rempah-ratus di atas, serta gula merah/perang atau madu secukup rasa dalam periuk kecil/bekas tahan api.

2. Panaskan dengan api perlahan sekejap sahaja, dan kemudian tutup api.

3. Tutup periuk/bekas dan biarkan sejuk selama 10 minit.

4. Campurkan dengan 2 cawan teh hitam, dan sekarang ia sedia untuk diminum.

** Nota: Boleh juga gunakan rempah ratus serbuk yang dijual di kedai mengikut sukatan dan kadar di atas.

Selamat mencuba…..


Sumber:  sitik's

No comments:

Post a Comment