Sebaik manapun sesuatu makanan itu, ia tetap akan memudaratkan kesihatan jika diambil secara "berlebihan" - Dr Andrew Weil

Wednesday, June 20, 2012

KHASIAT BUAH-BUAHAN





Buah-buahan adalah kurniaan Tuhan kepada umat manusia sebagai tanda kasih-sayang dan rahmatNya
Ia mempunyai berbagai-bagai fungsi yang semuanya untuk kebaikan kita
Oleh itu makan lah buah-buahan ini, dan jangan lah berlebih-lebihan, kerana Allah tidak menyukai orang yang melampai batas.
sumber : sitik's blog

Sunday, June 17, 2012

TIPS PENJAGAAN JANTUNG

 

Jantung
merupakan salah satu organ yang amat penting terdapat dalam tubuh kita. Tanpanya, sudah pasti kita semua tidak bernyawa. Justeru, untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan tubuh kita, amat wajar sekali perhatian sejak dan awal diberikan kepada jantung.

Seperkara perlu diingatkan, jantung kita akan terus berdenyut selagi hayat masih ada untuk mengepam darah yang mencukupi bagi kegunaan sel-sel tubuh. Namun disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat, sebahagian besar daripada kita cenderung untuk mendapat serangan sakit jantung.

Seperti yang dimaklumi, serangan sakit jantung merupakan salah satu punca utama kematian di kalangan rakyat di negara-negara maju dan membangun seperti Malaysia. Hakikatnya, serangan sakit jantung bukan tidak boleh dielakkan. Cumanya, kita perlu menjaga jantung kita bermula dari sekarang. Bagaimanakah caranya?

Pertamanya, kita mesti memulakan tabiat baik sejak kanak-kanak lagi agar ia (amalan baik) itu berterusan sehingga dewasa kelak.

Terdapat banyak cara dan petua diberikan berhubung cara bagaimana menjaga jantung kita.

Buku-buku mengenai hal yang sama juga banyak terdapat di pasaran. Salah satunya ialah yang ditulis oleh Dr. Jamilah Jamaludin berjudul Jantung - Antara Hidup dan Mati (1997), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Di dalam buku ini, beliau menurunkan beberapa petua menjaga jantung bagi dijadikan panduan. Antaranya ialah mengawal berat badan, menjaga pemakanan, berhenti merokok, bersenam, mengurangkan tekanan atau stres dan melakukan perubahan gaya hidup.

Kawalan berat badan

Kegemukan sering mencetuskan faktor risiko lain seperti paras lemak yang tinggi, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Oleh itu, berat badan berlebihan hendaklah dikurangkan kepada nilai yang sesuai bagi bentuk badan seseorang itu.

Dan lazimnya, kegemukan itu disebabkan oleh makanan berlebihan yang mungkin diamalkan sejak kecil lagi. Realitinya, mereka yang memiliki berat badan berlebihan tidak bergiat aktif, lantas kalori yang tinggi dalam makanan mereka tidak digunakan.

Maka lebihan makanan itu ditukarkan kepada lemak yang berkumpul pula pada bahagian-bahagian tertentu di badan seperti paha, perut dan sebagainya tanpa ketinggalan di jantung. Tetapi apabila lemak berkumpul di jantung, ia akan mengganggu kerja-kerja jantung.

Pemakanan

Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, boleh mengelakkan makanan yang kaya lemak seperti mentega, keju, minyak sapi dan makanan bersantan.

Pesakit jantung sendiri dinasihatkan supaya mengambil hanya sedikit makanan berlemak. Makanan yang mengandungi kolesterol hendaklah dielakkan. Ini termasuk telur, mentega, hati, otak dan sebagainya. Penggunaan minyak dalam penyediaan makanan juga patut dibataskan. Sebaliknya, digalakkan makanan yang dimasak secara kukus dan panggang. Masakan cara ini adalah lebih baik.

Sayur-sayuran seperti lobak, mentimun, semua jenis kubis dan sayur berdaun hijau selain buah-buahan adalah baik untuk men-jamin kesihatan dan kesejahteraan hidup. Justeru, amat baik sekali ia diamalkan setiap hari pengambilannya.

Seperkara lagi yang berkaitan dengan pemakanan ialah dinasihatkan tidak mengambil alkohol. Ia bukan sahaja menyulitkan usaha menurunkan berat badan tetapi turut mendatangkan bahaya pada tubuh, lebih-lebih lagi hati.

Berhenti merokok

Majoriti mereka yang mendapat serangan sakit jantung ialah kalangan yang merokok. Jika pernah mendapat serangan jantung, perlulah menurut nasihat doktor supaya amalan menghisap rokok dihentikan. Ini berupaya mengurangkan risiko berulangnya sakit jantung itu.

Bersenam

Bersenam adalah cara terbaik untuk menjaga kesihatan. Jogging, berjalan dan mengayuh basikal merupakan antara contoh senaman bagi mereka yang ada mengalami serangan jantung.

Pendek kata, sebarang senaman yang dibuat secara teratur adalah baik dan jelas sekali aktiviti ini dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.

Aktiviti senaman dapat membantu jantung mengedarkan darah secara lebih berkesan. Selebihnya, dengan bersenam secara teratur turut menjadikan tekanan darah diturunkan.

Perubahan gaya hidup

Risiko mendapat penyakit jantung koronari dan hipertensi/tekanan darah tinggi sering dikaitkan dengan amalan atau cara hidup seseorang. Ini meliputi aspek pemakanan, aktiviti riadah, tabiat merokok dan sebagainya.

Cara ini, jika menjadi amalan kita, elok diubah. Amalan hidup yang sihat tentunya boleh menjaga tubuh kita, sekali gus menjaga jantung agar hidup sentiasa sejahtera.

sumber: laman kesihatan

TIPS MENGAWAL PARAS KOLESTEROL




Ikuti tip-tip ini untuk mendapatkan paras kolesterol yang sihat dalam tubuh:

Kurangkan pengambilan daging merah, lemak haiwan dan produk tenusu.
Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kolesterol seperti hati dan sesetengah makanan laut. Seperti  sotong , lobster, udang, dan kerang .
Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi dengan gula dan karbohidrat ringkas yang lain.
Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar.
Pengambilan lecithin juga boleh membantu mengelakkan pemendapan dan memudahkan penyingkiran lemak badan.
Senaman secara berterusan membantu meningkatkan kolesterol HDL (High Density Lipoprotein), seterusnya menurunkan kolesterol total.
Elakkan pengambilan alkohol  kerana ia menyumbang kepada penurunan paras kolesterol HDL yang meningkatkan risiko penyakit jantung.

lecithin:

Lecithin is a generic term to designate any group of yellow-brownish fatty substances occurring in animal and plant tissues composed of phosphoric acid,choline, fatty acids, glycerol, glycolipids,triglycerides, and phospholipids (e.g.,phosphatidylcholine, phosphatidylethanolamine, andphosphatidylinositol).

Lecithin can easily be extracted chemically (usinghexane) or mechanically from readily available sources such as soy beans .

sumber: laman kesihatan

MEMBINA HARGA DIRI ANAK-ANAK

 

Apakah yang dimaksudkan dengan harga diri?

Harga diri adalah satu cara di mana kanak-kanak menilai diri mereka sendiri dengan perasaan yakin dan tidak rasa rendah diri.


Apakah ciri-ciri kanak-kanak yang mempunyai harga diri yang tinggi?

Kanak-kanak ini :

Mudah berkawan.
Berminat untuk melakukan aktiviti-aktiviti baru.
Mudah bekerjasama dan patuh pada arahan.
Boleh mengawal perlakuan.
Bermain sendiri dan bersama rakan-rakan lain.
Mempunyai idea-idea tersendiri dan kreatif.
Riang, bersemangat dan mudah berinteraksi.


Apakah ciri-ciri kanak-kanak yang mempunyai harga diri yang rendah?

Mereka :

Tidak ceria.
Kurang keyakinan diri.
Perasaan tidak berguna.
Sentiasa berasa letih dan penat.
Sering memikirkan perkara-perkara yang tidak baik.
Rasa rendah diri.
Sering gagal di sekolah.


Apakah faktor-faktor positif perasaan harga diri?
Faktor-faktor yang menyumbang kepada perasaan harga diri :

Kasih sayang.
Keselamatan.
Panduan.
Penghargaan.
Galakan.


Bagaimanakah anda dapat membantu anak anda untuk membina perasaan harga diri yang tinggi?

Anda harus :

Berikan pujian pada setiap kejayaan walaupun kejayaan yang kecil.
Berikan kasih sayang yang ikhlas.
Tunjukkan minat pada setiap masalah,aktiviti atau projek yang dilakukan oleh anak anda.
Menerangkan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Cuba elakkan segala perlakuan negatif dan bunga-bunga kemarahan.
Beri penghargaan atas segala bantuan dan kerjasama yang diberikan atau apa-apa pertuturan yang sopan.
Balaslah dengan sifat kasih sayang atas segala perlakuan yang baik.
Sekiranya anak anda melakukan sesuatu yang tidak anda senangi, asingkan yang negatif darinya iaitu pisahkan perangai yang tidak menyenangkan dari dirinya.
 Umpamanya 'ibu tidak suka anda membaling-baling permainan, tetapi ibu tetap menyayangimu.'


Faktor-faktor yang boleh menjejaskan perasaan harga diri di kalangan kanak-kanak

Menaruh harapan yang terlalu tinggi atau terlalu rendah ke atas anak-anak.
Memarahi atau mengherdik anak-anak terutamanya di hadapan orang lain.
Memanggil anak-anak dengan perkataan lembab, bodoh, malas dan sebagainya.
Terlalu membela atau terlampau tidak mengendahkan anak-anak.

sumber: laman kesihatan

Thursday, June 14, 2012

PETUA MEMILIH TEMBIKAI YANG BAIK



Tembikai merupakan buah yang disukai ramai terutamanya pada musim panas atau pada bulan -bulan puasa kerana ia boleh menghilang rasa dahaga, di samping pelbagai khasiat jika memakannya.

Tembikai adalah kaya dengan vitamin A dan C, asid folik, magnesium, zink dan mineral lain. Oleh itu, ia mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit, seperti sakit kepala, penyakit paru-paru dan masalah kulit, di samping memberi tenaga dan kekuatan serta memulihkan sistem tubuh yang lemah bagi mereka yang baru sahaja sembuh daripada penyakit atau menjalani pembedahan. Tembikai juga mampu menghapuskan kesan-kesan toksik dalam tubuh dan membantu melancarkan pengaliran darah. Tembikai yang diambil sebelum makan dapat membersihkan usus dan menghindari penyakit.

Selalunya kita membeli buah tembikai di kedai tanpa melihat isinya, apabila dikupas kemudiannya isinya tidak seperti yang kita harapkan. Di sinilah perlunya kita mengetahui serba sedikit cara-cara untuk memilih buah tembikai yang baik dan ranum.

Berikut adalah petua bagi memilih buah tembikai yang baik berasaskan ciri-ciri luarannya:

1. Pilih tembikai yang berat berbanding dengan saiznya.
2. Warna buahnya hijau yang menarik dan bentuk buahnya sekata kiri dan kanan (simetri).
3. Tompok di bawah buah berwarna kekuningan, bukannya warna putih.
4. Jalur hijau di kulit buah kelihatan putus-putus atau tidak bersambung terus.

Diharap petua ini dapat membantu kita memilih tembikai yang cantik isinya. Selamat mencuba...

sumber: sitik's blog

Wednesday, June 13, 2012

KESIHATAN JANTUNG: ALTERNATIF KEPADA UBAT STATIN


 


SAINTIS aliran perdana dan golongan perubatan moden percaya kepada teori yang menyatakan bahawa paras kolesterol tinggi sebagai punca arteri jantung tersumbat. Sebuah teori aliran perdana yang amat popular menyatakan bahawa plak berlemak berkumpul pada bahagian dinding arteri jantung yang rosak. Keradangan dikatakan sebagai punca utama kerosakan dinding arteri jantung.


C-reactive protein (CRP) ialah sejenis bahan yang terdapat dalam darah dikenal pasti sebagai penanda (marker) untuk keradangan. Paras CRP akan meningkat sebagai isyarat terhadap sebarang jenis keradangan yang berlaku. Paras CRP tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung manakala paras rendah pula dikaitkan dengan risiko rendah.

Ramai saintis dan doktor percaya bahawa LDL yang juga dikenali sebagai kolesterol jahat adalah penanda utama bagi menentukan risiko penyakit jantung. Namun pada masa sama terdapat beberapa bukti menunjukkan CRP dapat dijadikan penanda risiko penyakit jantung yang lebih baik berbanding LDL.

LDL atau CRP?

Sebuah kajian yang diketuai Paul Ridker, MD yang melibatkan 29,939 wanita telah menunjukkan keadaan tersebut. Lebih dari separuh wanita yang terlibat dalam kajian mengalami paras CRP tinggi. Mereka didapati mengalami penyakit jantung walau pun paras LDL mereka rendah. Kajian ini dilaporkan dalam New England Journal of Medicine pada 14 November 2002.

Beberapa tahun kemudian kajian yang dijalankan di Cleveland Clinic mendapati arteri tersumbat yang dialami 502 pesakit tidak menjadi semakin buruk setelah mereka berjaya mengurangkan paras CRP. Kajian ini dilaporkan dalam New England Journal of Medicine pada 6 Januari 2005. Jurnal keluaran yang sama juga melaporkan keputusan sebuah kajian lain yang dijalankan Dr Ridker di mana ia menunjukkan penurunan paras CRP menggunakan ubatan statin mengurangkan risiko kejadian serangan jantung kali kedua.

Statin ialah nama generik kepada sejenis ubat moden bagi membantu mengawal paras kolesterol. Ia berfungsi menghalang pembinaan kolesterol. Ia dipreskripsi doktor kepada mereka yang mengalami paras kolesterol tinggi dan penyakit jantung koronari. Statin memiliki beberapa kesan sampingan termasuk gangguan emosi, memori, libido (mati pucuk), merosakkan sel dan mengurangkan pembinaan coenzyme Q10.

Kekurangan kolesterol menyebabkan hormon reproduktif seperti testosteron juga terganggu. Ia bukan sahaja memberi kesan negatif kepada selera seks tetapi ia dipercayai menyebabkan seseorang mudah mengalami penuaan pra-matang. Ini kerana antara fungsi testosteron ialah melambatkan proses penuaan.

Sel membran juga terdiri dari 20 peratus kolesterol. Kekurangan kolesterol mengganggu pelbagai fungsi sel dan ini juga mempercepat proses penuaan. Gangguan pembinaan kolesterol juga mengurangkan pembinaan vitamin D. Kekurangan vitamin D dikaitkan dengan pelbagai ketidakseimbangan fisiologi. Ini juga mempercepat proses penuaan.

Kesan sampingan

Sebuah kajian yang dilaporkan dalam British Medical Journal (2010) mendapati statin meningkatkan risiko katarak, otot lemah, hati tidak berfungsi dan kegagalan buah pinggang! Pada tahun sebelumnya Dr Janet L Stanford melaporkan dalam American Journal of Epidemiology bahawa statin didapati meningkatkan risiko kanser prostat sebanyak 50 peratus pada lelaki obes. Ia juga meningkatkan risiko diabetes sebanyak 80 peratus pada golongan sama.

Sebuah kajian yang dijalankan beberapa tahun kemudian seperti dilaporkan dalam jurnal Archives of Internal Medicine (2012) mendapati statin meningkatkan risiko diabetes sebanyak 50 peratus pada wanita berumur melebihi 45 tahun apabila mereka mengambil statin.

Mekanisme bagaimana statin meningkatkan risiko diabetes jenis 2 tidak diketahui. Kekurangan kolesterol berpunca dari pengambilan statin menyebabkan gangguan secara fisiologi pada membran sel. Ia dipercayai menyebabkan reseptor insulin tidak sensitif terhadap hormon insulin atau reseptor insulin menjadi semakin kurang bilangannya kerana berlaku proses down regulation.

Pengambilan statin secara berpanjangan mungkin menyebabkan pembinaan insulin oleh sel beta pankreas semakin berkurangan. Sel beta juga mempunyai membran. Kalsium memang diperlukan sel beta untuk membina insulin.

Namun pintu/laluan kalsium yang tidak berfungsi secara normal menyebabkan terlalu banyak kalsium masuk ke dalam sel beta melebihi had sepatutnya.

Ini menyebabkan insulin dirembeskan melebihi had normal dan menyebabkan resptor insulin pada membran sel menjadi tidak sensitif kepada kehadiran insulin. Proses ketidaksensitifan reseptor insulin, kekurangan resptor insulin dan berlebihan ion Kalsium dalam sel beta pankreas ialah punca kepada kekebalan insulin. Jika tidak ditangani terutama dari segi pola pemakanan seseorang yang mengalami keadaan ini mudah menghidap diabetes jenis 2.

Bahan alternatif

Apakah alternatif untuk statin? Jawapannya ialah menjalani gaya hidup holistik. Makan makanan yang sesuai untuk kesihatan jantung seperti mengurangkan produk bijirin. Kurangkan pengambilan gula. Elakkan merokok dan minum arak. Elakkan dari makan berlebihan dan digoreng secara terendam lama. Tingkatkan pengambilan sayur- sayuran dan buah-buahan. Guna garam gunung dalam masakan.

Ambil ubat-ubatan moden ketika keadaan yang memerlukan sahaja. Urus stres dengan bijak.

Saya tidak menggunakan teori plak berlemak punca kerosakan arteri. Teori yang saya anuti ialah pintu/laluan kalsium yang rosak menyebabkan kalsium masuk pada jumlah tinggi ke dalam sel endotelia jantung. Ini menyebabkan arteri jantung buncit. Pada pandangan saya pintu/laluan Kalsium boleh diperbetulkan dengan mengamalkan pemakanan di atas berserta pengambilan bahan yang akan saya sebutkan di bawah.



Kajian mendapati delima berupaya mencegah keradangan dan juga pembentukan plak dalam arteri. Bahan seperti cuka epal (atau cuka kurma) diambil bersama minyak zaitun perahan sejuk (extra virgin), vitamin C membantu delima secara sinergi. Kesemua bahan ini bukan sahaja dipercayai membantu memulihara pintu/laluan kalsium pada membran sel tetapi ia juga mencairkan darah dengan mengawal profil lipid iaitu tirigliserida, LDL, HDL dan jumlah kolesterol (total kolesterol). Vitamin B6, B9 (asid folik) dan B12 yang terdapat pada B kompleks menyumbang methyl yang diperlukan pelbagai jenis bahan kimia dalam tubuh bagi memastikan organ sistem tubuh berfungsi secara harmoni termasuk memelihara kesihatan jantung. Selain itu magnesium yang terdapat pada sayuran hijau penting untuk pembinaan tenaga dalam sel serta bagi mengimbangi kalsium. Suplemen L-arginine juga penting. Dalam tubuh ia diubah kepada nitrik oksida. Ia berfungsi meneutralkan radikal bebas superoxide iaitu bahan yang dipercayai punca keradangan dan merosakkan sel endotelia arteri.


sumber:  Herbalis Bahrain Samah
               Sinar Online

Sunday, June 10, 2012

ROKOK PUNCA PENYAKIT KRONIK


 


BERCERITA mengenai rokok, kita tentu terbayang banyak jenama rokok di pasaran memandangkan setiap negara mempunyai jenama sendiri.

Mengimbau iklan rokok Malboro Man - lelaki berpakaian koboi dengan sebatang rokok di tangan menunjukkan 'kehebatan'.

Tapi tidak ramai tahu tiga lelaki yang terlibat dalam iklan Malboro Man - Wayne McLaren, David McLean dan Dick Hammer meninggal dunia akibat kanser paru-paru.

Budaya merokok dibawa ke Eropah pada abad ke-16, kemudian menjadi kebiasaan dalam kalangan bangsawan.

Di Amerika Syarikat pula, puak Red Indian merokok untuk acara pemujaan dan bukan menunjukkan kehebatan.

Walau untuk tujuan apa pun, hakikatnya merokok menimbulkan banyak masalah bukan saja dari segi kesihatan bahkan kehidupan sosial.

Kajian saintifik menunjukkan terdapat begitu banyak bahan kimia berbahaya terkandung di dalam rokok.

Daripada nikotin, tar, sianida, benzena, cadmium, metanol, asetilena, amonia, formaldehid, hidrogen sianida, arsenik sehinggalah karbon monoksida.

Nikotin mungkin menyebabkan perokok merasa tenang namun tar mengandungi lebih 4,000 bahan kimia dengan 60 daripadanya bersifat karsinogen iaitu pencetus kanser.

Karbon monoksida pula sejenis gas berbahaya yang jika disedut dengan banyak boleh mengurangkan keupayaan darah untuk membawa oksigen ke tisu-tisu dan menyebabkan sukar bernafas dan cepat letih.

Aceton dan toluidine - yang juga terdapat dalam rokok pula biasanya digunakan masing-masing sebagai penanggal cat dan pelarut industri antaranya terdapat dalam pencuci lantai.

RoketMetanol pula terdapat dalam bahan api roket; napthalene adalah ubat gegat; DDT ubat pembunuh serangga manakala butane biasa digunakan dalam pemetik api.

Menurut Pakar Runding Perubatan, Pusat Perubatan Taman Desa, Datuk Dr. G. Selvaraju, kanser pertama kali dikaitkan dengan merokok pada 1964.

"Bagaimanapun mekanisme sebenar mengaitkan merokok dan kanser masih belum diketahui," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, nikotin dan tar yang terdapat dalam rokok adalah faktor yang mengganggu fungsi paru-paru.

Biasanya, apabila pesakit didiagnosis dengan kanser paru-paru, masanya sudah terlambat kerana penyakit telah sampai ke peringkat serius.

"Ubatnya mudah. Jauhi rokok, arak dan jaga pemakanan.

"Penyakit menjadi kronik jika seseorang itu merokok dan mengambil pula alkohol serta tidak menjaga pemakanan," kata Dr. Selvaraju yang masih sihat biarpun sudah berusia lebih 70 tahun. Mengikut anggaran, 20 juta daripada 28 juta penduduk Malaysia adalah perokok.

Tambah Dr. Selvaraju, semasa usia remajanya sekitar 1950-an amat sukar melihat orang menghisap rokok kerana ia bukan budaya Asia.

"Tetapi sekarang saya lihat kadangkala satu keluarga menghisap rokok," katanya kesal.

Dalam hal ini, beliau menyalahkan iklan sebagai penyebab remaja terdedah dengan budaya merokok.

"Biasanya perokok yang merokok lebih 15 tahun, kelihatan normal semasa ujian kesihatan kerana sel kanser tidak kelihatan.

Ini kerana apabila berlaku 'kesilapan' dalam badan, tubuh masih boleh bertahan sehingga 80 peratus.

"Selepas tahap itu, barulah badan bertindakbalas menyebabkan pengesanan terlewat," katanya.

Menurutnya, seorang pesakitnya yang pernah dinasihatkan agar berhenti merokok datang semula kepadanya selepas 15 tahun kerana batuk berpanjangan, kahak berdarah dan berat badan menyusut.

"Dia didiagnosis kanser paru-paru pada peringkat lewat.

"Tiada apa yang boleh dilakukan selain kemoterapi dan pembedahan di samping menjaga kesihatan kerana sistem badan tidak lagi berfungsi seperti biasa," katanya.

RadangDr. Selvaraju berkata, majoriti perokok menghidap radang paru-paru atau bronkitis menyebabkan sesak nafas dan batuk berpanjangan.

Apa yang menyedihkan, perokok pasif atau mereka yang tidak merokok tetapi dikelilingi perokok - juga boleh mendapat kanser kerana sering menghidu asap rokok.

"Sebenarnya lebih bahaya dikelilingi oleh perokok berbanding anda sendiri yang menjadi perokok," katanya.

Bagi perokok aktif, menurut beliau, kesannya akan dirasai mereka biasanya selepas 15 tahun. "Mereka akan terdedah kepada lebih 20 penyakit kronik yang terdiri daripada pelbagai jenis kanser antaranya pundi kencing, perut, usus dan rahim, mulut, esofagus, tekak, pankreas, payudara dan paru-paru.

"Mereka juga mudah mendapat penyakit berkaitan saluran pernafasan, strok, osteoporosis, jantung dan mandul," ujarnya.

Bagi perokok wanita pula, mereka mungkin mengalami putus haid awal, melahirkan bayi cacat, keguguran, bronkitis, batuk, ulser peptik, otot lemah, penyakit gusi dan kerosakan mata.

Menurut Dr. Selvaraju, perokok pasif atau mereka yang dikelilingi perokok aktif terdedah kepada risiko kanser paru-paru dan penyakit jantung, masalah pernafasan termasuk radang paru-paru dan bronkitis, sakit atau pedih mata, bersin dan batuk-batuk, sakit kerongkong dan sakit kepala.

sumber: Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN nisa.sulaiman@utusan.com.my

Saturday, June 9, 2012

BARAH DARAH


Foto 

Demam, letih dan hilang selera makan boleh jadi simptom lymphoma


RASA demam, letih, lesu, kurang selera makan dan hilang berat badan secara mendadak mungkin dianggap tanda penyakit biasa. Namun, berjaga-jaga kerana ia mungkin gejala awal kepada penyakit lebih serius seperti barah darah yang dikenali sebagai Lymphoma.

Lymphoma adalah sejenis kanser darah yang bermula dari sel sistem imun dipanggil lymphocytes. Seperti kanser lain, lymphoma berlaku apabila lymphocytes berada dalam keadaan pertumbuhan sel yang tidak terkawal dan berganda.

Lymphocytes adalah sel darah putih yang mengalir ke seluruh tubuh menerusi bendalir yang dikenali sebagai limfa. Ia diedar oleh rangkaian saluran yang membentuk sistem limfa iaitu sebahagian daripada sistem imun. Sistem limfatik (berfungsi melawan jangkitan atau anasir yang membahayakan tubuh) juga merangkumi nodus limfa yang wujud di seluruh tubuh bagi menyaring limfa yang mengalir melaluinya.

Nodus limfa bengkak dan menjadi lembut apabila sejumlah besar organisma mikrobial terperangkap di dalamnya. Ini menunjukkan wujudnya jangkitan. Lymphocytes tidak normal terkumpul di dalam satu atau lebih nodus limfa atau tisu limfa seperti limpa atau tonsil dan lama-kelamaan membentuk kelompok sel yang dipanggil tumor.

Tumor tumbuh dan merebak di kawasan sekitar tisu dan organ, seterusnya mengganggu bekalan oksigen dan nutrien. Jika lymphocytes tidak normal bergerak dari satu nodus limfa atau pada organ lain, kanser akan merebak. 



Perunding Perubatan Dalaman Hematologi & Onkologi Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Dr Abdul Aziz Baba, berkata dalam kes pesakit lymphoma yang beralih kepada leukemia, pesakit perlu faham bahawa leukemia bermula dari darah dan lymphoma pula dari nodus limfa. Tetapi ada juga lymphoma yang bermula dari darah dan ia dikenali sebagai lymphoma leukemia tetapi keadaan ini masih tidak begitu jelas. 
Dr Abdul Aziz berkata, leukemia atau lymphoma tidak akan menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal. Bagaimanapun, lama kelamaan apabila ia semakin merebak leukemia dan lymphoma boleh menghasilkan gejala yang seakan sama.

“Pesakit akan merasa lesu, berpeluh waktu malam, sakit atau bengkak di bawah rusuk, terutama bahagian kiri, sesak nafas, ruam atau gatal pada kulit.

“Individu terbabit juga mengalami bengkak pada nodus limfa di leher, bawah lengan, perut dan groin, demam atau jangkitan yang tidak dapat dijelaskan, sakit dada, perut atau tulang yang tidak dapat dijelaskan serta berat badan turun mendadak,” katanya kepada Sihat.

Beliau berkata, sehingga kini, banyak kes lymphoma masih tidak dapat dijelaskan puncanya.

Bagaimanapun, keadaan dan karakter tertentu mampu mempertingkatkan risiko penyakit ini. Antaranya keadaan yang melemahkan sistem imun termasuk rheumatoid arthritis, psoriasis dan HIV dan AIDS. Selain itu, kecelaruan imun yang diwarisi seperti hypogammaglobulinemia atau sindrom Wiskott-Aldrich, jangkitan lalu seperti virus Epstein-Barr serta pemindahan organ yang membabitkan pengambilan dadah yang melemahkan sistem imun, usia, bangsa dan jantina.

Ini termasuk individu yang memiliki sejarah keluarga penghidap lymphoma dan pernah menjalani rawatan untuk kanser jenis lain di masa lalu.

Bagaimanapun, tidak semua orang yang mengalami salah satu faktor risiko ini akan mendapat lymphoma dan tidak semua penghidap lymphoma akan mengalami faktor risiko yang dinyatakan.

Secara amnya, ada dua jenis lymphoma iaitu Hodgkin lymphoma (HL) dan Non-Hodgkin lymphoma. Hodgkin lymphoma adalah sejenis lymphoma tertentu dengan potensi sembuh yang tinggi manakala Non-Hodgkin lymphoma (NHL), yang lebih biasa berlaku apabila sistem limfatik menghasilkan limfatik yang tidak normal. Berikutan ada lebih 30 sub jenis lymphoma, rawatan dan prognosis berbeza berdasarkan sub jenis kanser darah ini.

Menurut statistik, di Amerika Syarikat (AS) setiap tahun dianggarkan 54,000 orang didiagnosa dengan NHL dan 7,000 kes HL. Ia adalah kanser darah paling lazim di AS sebaliknya Kesatuan Eropah (EU) menyaksikan lebih 50,000 kes NHL setiap tahun. 

Dari segi rawatan, pakar perubatan akan menjalankan semua pemeriksaan dan ujian sebelum menentukan tahap penyakit dan jenis rawatan sesuai. Antara rawatan yang disediakan adalah terapi biologik atau imunoterapi, kemoterapi, terapi sasaran, terapi steroid, terapi radiasi, pemindahan sel stem dan pembedahan.

Menariknya, sesetengah pesakit leukemia dan lymphoma tidak memerlukan rawatan. Ada juga sesetengah pesakit yang tidak memerlukan rawatan segera tetapi perlu menjalani terapi selepas beberapa tahun serta ada juga yang memerlukan rawatan segera. Semua rawatan yang diberi bergantung penuh kepada kriteria pesakit, tahap penyakit, jenis lymphoma dan tahap kesihatan pesakit ketika itu.

sumber: Berita Harian Online