Sebaik manapun sesuatu makanan itu, ia tetap akan memudaratkan kesihatan jika diambil secara "berlebihan" - Dr Andrew Weil

Sunday, July 8, 2012

AZAB SAKIT SENDI


  
  • Foto
    Gambar kecil, Zabedah Abd Rahman
  • Foto
    Selepas pembedahan tangan boleh diluruskan sepenuhnya.
Pembedahan mikro bantu pesakit gerak jari, tangan tanpa rasa sakit 

SEJAK 10 tahun lalu, Zabedah Abd Rahman, 67, sering mengalami bengkak dan sakit di tangan kanan, terutama pada bahagian jari telunjuk. Setiap kali membengkak dan sakit, Zabedah, ibu kepada tujuh cahaya mata ini lebih selesa menyapu minyak panas, berurut atau mendapatkan ubat di klinik kerajaan kerana kesakitan itu bersifat sementara.

“Saya terus bertahan sebab setiap kali berubat sendiri kesakitan itu berkurangan. Pernah hingga satu ketika, hendak buat kerja rumah pun azabnya hanya Allah saja yang tahu walaupun semudah membasuh beras. Malah, ketika bertemu tukang urut, dia mengesyaki jari tangan saya patah kerana ada bunyi seolah-olah tulang bergesel,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) baru-baru ini.
Cubaan Zabedah ke klinik kerajaan untuk mendapatkan pengesahan menerusi imbasan x-ray juga tidak berjaya sebaliknya dia diberikan ubat dan surat rujukan untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjutan
Suri rumah sepenuh masa itu mengakui 10 tahun lalu, dia pernah terjatuh dan tidak melakukan apa-apa rawatan susulan. Disebabkan tiada 
kecederaan yang serius cuma rasa sakit yang kemudian hilang, Zabedah kembali melakukan kerja rumah seperti biasa.

“Cuma kalau buat kerja berat sedikit memang terasa sakitnya. Bila letak minyak, ia hilang. Bila tulang berbunyi, saya fikir ia patah sebab buat kerja pun sakit, jadi selepas buat x-ray dan disahkan ada masalah pada tangan kanan, doktor di hospital menyarankan pembedahan dilakukan. Oleh kerana saya tinggal berhampiran PPUKM, anak-anak mencadangkan pembedahan itu dilakukan di situ.
Di PPUKM, wanita yang berasal dari Jerantut, Pahang itu dirujuk kepada pakar ortopedik, tangan dan pembedahan mikro yang menjalankan pelbagai ujian sebelum memberikan beberapa pilihan rawatan. Menurut pakar, sendi jari Zabedah merosot akibat trauma yang dibiarkan sejak sekian lama sehingga rawan menjadi haus dan menjejaskan tulang. 

“Doktor kata, rawatan paling sesuai ialah pembedahan gantian sendi tangan yang agak rumit dan jarang dilakukan di negara ini. Menurut doktor, pembedahan ini mampu mengembalikan pergerakan secukupnya bagi membolehkan saya melakukan kerja harian tanpa rasa sakit. 

Sebagai orang tua, saya akui sangat takut dengan pembedahan, sebab itu saya ke klinik hanya bila sakit. Tetapi doktor dan anak-anak banyak memberi sokongan, menjelaskan dan meyakinkan dengan sebaik-baiknya apakah yang akan berlaku sebelum dan selepas pembedahan, manfaat pembedahan dan apakah pilihan yang ada sekiranya pembedahan gagal.

“Syukur alhamdulillah, selepas menjalani pembedahan pada Disember tahun lalu kini saya mampu menggerakkan jari serta tangan dan boleh melakukan kerja harian tanpa rasa sakit seperti yang dijanjikan pakar,” katanya. 

Pembedahan kaedah terbaik hilangkan kesakitan

“INI adalah penyakit yang lazim sampai ke pejabat saya,” demikian jelas Perunding Ortopedik, Tangan dan Pembedahan Mikro, Sunway Medical Centre, Dr Rajesh Singh kepada BH Ahad merujuk kes Zabedah baru-baru ini. 

Apabila terjatuh, kalau sendi lutut tercabut atau lari, pesakit akan menyedarinya dan terus mendapatkan rawatan. Sebaliknya bagi sendi tangan, apa yang biasa berlaku adalah jika sendi tercabut dari kedudukannya, ia akan kembali pada kedudukan asal, menyebabkan pesakit tidak menyedarinya. Mungkin ada lebam atau sakit seketika tetapi selepas itu berfungsi seperti biasa.

Jadi tulang berbunyi seperti yang didakwa Zabedah, sebenarnya kesan dua hujung tulang yang bergesel antara satu dengan lain. Pada hujung tulang ada rawan, jadi rawan itu sifatnya licin tetapi dalam keadaan ini ia sudah haus. 





“Perkara pertama yang saya jelaskan kepada pesakit adalah keputusan imbasan x-ray. Bukan saja ia haus, tetapi kedudukan sendi ini tidak selaras,” katanya. 


Punca utama kemerosotan sendi tulang tangan Zabedah adalah akibat kecederaan yang dibiarkan sekian lama. Terdapat dua penyebab arthritis pada tangan. Paling lazim di negara barat adalah rheumatoid arthritis, manakala biasa berlaku di kalangan masyarakat ASEAN trauma sendi. Jadi ketika membuat latihan di Australia, kami melakukan banyak gantian sendi bagi rheumatoid arthritis, sebaliknya di Malaysia sering membuat gantian sendi akibat trauma. Ini kerana trauma pada tangan sering dibiarkan begitu saja. Ia mungkin baik, tetapi 10 tahun kemudian pesakit mula diganggu kesakitan yang berulang.

Dalam keadaan ini empat kaedah rawatan boleh dilakukan; pertama, biarkan saja, kedua, rawat dengan ubat, ketiga, matikan sendi kecil yang kurang penting dan keempat, rawatan terbaru dengan memasang sendi besi gantian. 

“Ketika berbincang mengenai pilihan rawatan gantian sendi, terdapat juga sendi palsu dari jenis lama. Sendi jenis lama ini dari bahan seperti plastik yang tidak tahan lama (sekitar lima tahun). Sebab itu saya cuba pula pembedahan menggunakan jenis besi yang tahan lebih lama (sekitar 10 tahun), jadi ketika memutuskan untuk membuat pembedahan ini, saya janjikan satu perkara kepada pesakit iaitu sendi boleh bergerak cukup untuk keupayaan harian tanpa rasa sakit dan paling penting pesakit perlu faham mengapa pembedahan ini dilakukan,” katanya yang mengendalikan pembedahan itu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada 24 Disember lalu. 

Beliau yang masih membuat lawatan PPUKM berkata, perkembangan pertama yang disedari selepas pembedahan, tangan tidak bengkak seperti sebelumnya. Malah pesakit boleh membengkokkan dan meluruskan jari sepenuhnya. 

Pembedahan ini berjaya apabila pesakit boleh menggerakkan sendi dan mengangkat barang yang agak berat tanpa sakit.

Pembedahan ini agak sukar dan memakan masa dua jam. Mengambil masa lama kerana keputusan yang dibuat ketika pembedahan meninggalkan kesan jangka panjang. Kerana itu juga tidak ramai pakar yang mampu melakukan pembedahan ini. 

Rumitnya pembedahan ini boleh diumpamakan seperti membaiki jam tangan. Perbezaan saiz alat gantian sendi tangan boleh dilihat apabila meletakkan alat itu bersama alat gantian lutut dan syiling 10 sen bersama. 

“Keupayaan teknikal diperlukan bagi melaksanakan gantian sendi akibat trauma sebenarnya lebih tinggi berbanding rheumatoid arthritis. Bagi memastikan ia sempurna, peralatan terbaik seperti mikroskop yang mampu memperbesarkan objek berkali ganda digunakan,” katanya. 

Pakar yang melakukan pembedahan gantian lutut atau pinggul tidak dapat melakukannya kerana mereka tidak dilatih untuk mengendalikan peralatan yang terlalu kecil. Pembedahan hanya dilakukan oleh pakar ortopedik tangan dan pembedahan mikro sahaja.

Disebabkan tiada buku panduan khas untuk gantian sendi selepas trauma pada tangan, semuanya perlu dipastikan sebelum menghabiskan masa yang lama untuk merancang dan membincangkan apakah cara terbaik untuk melakukannya kerana apa yang pesakit mahukan hanyalah satu pembedahan yang terbaik. 

Jelas Dr Rajesh, mendapatkan parut luar yang cantik memang mudah tetapi tidak untuk parut dalaman yang amat rumit dan memerlukan kepakaran tinggi. 

Teknologi gantian sendi kecil ini sudah mula berada di PPUKM sejak empat tahun lalu, namun ketika itu kosnya terlalu tinggi. Kerana itu tidak ramai memilih untuk menjalani pembedahan ini. Namun kini dengan usaha PPUKM dan bantuan beberapa agensi kerajaan seperti baitulmal, pesakit yang kurang berkemampuan kini punya pilihan untuk mendapatkan rawatan terbaik dan moden ini.

Sementara itu Pakar Bedah Ortopedik & Traumatologi PPUKM, Profesor Madya Dr Jamari Sapuan berkata, antara manfaat pembedahan ini adalah pesakit mendapat pergerakan yang bebas rasa sakit berbanding teknik cantum di mana pesakit akan hilang pergerakan. 

“Tidak banyak hospital mempunyai teknologi ini, malah hingga kini hanya dua pesakit yang berjaya mendapat manfaat daripada gantian sendi selepas trauma pada tangan,” katanya.

Kebanyakan pesakit takut dengan pembedahan, kerana itu mereka sanggup menahan sakit dan mengambil ubatan tradisional iaitu ubat yang kebanyakan mengandungi steroid. Jangan sewenang-wenangnya mengambil ubatan herba, rawatan alternatif dan seumpamanya kerana ubatan ini mengandungi steroid dan kita boleh lihat banyak kesan sampingan yang akhirnya memudaratkan pesakit terutama apabila usia pesakit semakin meningkat. 


sumber: 

Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
1/7/2012



2 comments: