Demam, letih dan hilang selera makan boleh jadi simptom lymphoma
RASA demam, letih, lesu, kurang selera makan dan hilang berat badan secara mendadak mungkin dianggap tanda penyakit biasa. Namun, berjaga-jaga kerana ia mungkin gejala awal kepada penyakit lebih serius seperti barah darah yang dikenali sebagai Lymphoma.
Lymphoma adalah sejenis kanser darah yang bermula dari sel sistem imun dipanggil lymphocytes. Seperti kanser lain, lymphoma berlaku apabila lymphocytes berada dalam keadaan pertumbuhan sel yang tidak terkawal dan berganda.
Nodus limfa bengkak dan menjadi lembut apabila sejumlah besar organisma mikrobial terperangkap di dalamnya. Ini menunjukkan wujudnya jangkitan. Lymphocytes tidak normal terkumpul di dalam satu atau lebih nodus limfa atau tisu limfa seperti limpa atau tonsil dan lama-kelamaan membentuk kelompok sel yang dipanggil tumor.
Tumor tumbuh dan merebak di kawasan sekitar tisu dan organ, seterusnya mengganggu bekalan oksigen dan nutrien. Jika lymphocytes tidak normal bergerak dari satu nodus limfa atau pada organ lain, kanser akan merebak.
Perunding Perubatan Dalaman Hematologi & Onkologi Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Dr Abdul Aziz Baba, berkata dalam kes pesakit lymphoma yang beralih kepada leukemia, pesakit perlu faham bahawa leukemia bermula dari darah dan lymphoma pula dari nodus limfa. Tetapi ada juga lymphoma yang bermula dari darah dan ia dikenali sebagai lymphoma leukemia tetapi keadaan ini masih tidak begitu jelas.
Dr Abdul Aziz berkata, leukemia atau lymphoma tidak akan menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal. Bagaimanapun, lama kelamaan apabila ia semakin merebak leukemia dan lymphoma boleh menghasilkan gejala yang seakan sama.
“Pesakit akan merasa lesu, berpeluh waktu malam, sakit atau bengkak di bawah rusuk, terutama bahagian kiri, sesak nafas, ruam atau gatal pada kulit.
“Individu terbabit juga mengalami bengkak pada nodus limfa di leher, bawah lengan, perut dan groin, demam atau jangkitan yang tidak dapat dijelaskan, sakit dada, perut atau tulang yang tidak dapat dijelaskan serta berat badan turun mendadak,” katanya kepada Sihat.
Beliau berkata, sehingga kini, banyak kes lymphoma masih tidak dapat dijelaskan puncanya.
Bagaimanapun, keadaan dan karakter tertentu mampu mempertingkatkan risiko penyakit ini. Antaranya keadaan yang melemahkan sistem imun termasuk rheumatoid arthritis, psoriasis dan HIV dan AIDS. Selain itu, kecelaruan imun yang diwarisi seperti hypogammaglobulinemia atau sindrom Wiskott-Aldrich, jangkitan lalu seperti virus Epstein-Barr serta pemindahan organ yang membabitkan pengambilan dadah yang melemahkan sistem imun, usia, bangsa dan jantina.
Ini termasuk individu yang memiliki sejarah keluarga penghidap lymphoma dan pernah menjalani rawatan untuk kanser jenis lain di masa lalu.
Bagaimanapun, tidak semua orang yang mengalami salah satu faktor risiko ini akan mendapat lymphoma dan tidak semua penghidap lymphoma akan mengalami faktor risiko yang dinyatakan.
Secara amnya, ada dua jenis lymphoma iaitu Hodgkin lymphoma (HL) dan Non-Hodgkin lymphoma. Hodgkin lymphoma adalah sejenis lymphoma tertentu dengan potensi sembuh yang tinggi manakala Non-Hodgkin lymphoma (NHL), yang lebih biasa berlaku apabila sistem limfatik menghasilkan limfatik yang tidak normal. Berikutan ada lebih 30 sub jenis lymphoma, rawatan dan prognosis berbeza berdasarkan sub jenis kanser darah ini.
Menurut statistik, di Amerika Syarikat (AS) setiap tahun dianggarkan 54,000 orang didiagnosa dengan NHL dan 7,000 kes HL. Ia adalah kanser darah paling lazim di AS sebaliknya Kesatuan Eropah (EU) menyaksikan lebih 50,000 kes NHL setiap tahun.
Dari segi rawatan, pakar perubatan akan menjalankan semua pemeriksaan dan ujian sebelum menentukan tahap penyakit dan jenis rawatan sesuai. Antara rawatan yang disediakan adalah terapi biologik atau imunoterapi, kemoterapi, terapi sasaran, terapi steroid, terapi radiasi, pemindahan sel stem dan pembedahan.
Menariknya, sesetengah pesakit leukemia dan lymphoma tidak memerlukan rawatan. Ada juga sesetengah pesakit yang tidak memerlukan rawatan segera tetapi perlu menjalani terapi selepas beberapa tahun serta ada juga yang memerlukan rawatan segera. Semua rawatan yang diberi bergantung penuh kepada kriteria pesakit, tahap penyakit, jenis lymphoma dan tahap kesihatan pesakit ketika itu.
sumber: Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment