MELAKUKAN aktiviti fizikal atau senaman pada bulan Ramadan mungkin kedengaran tidak masuk akal bagi sesetengah orang. Berdepan dengan cabaran tanpa makan dan minum hampir 14 jam sudah pun begitu mencabar ketahanan apatah lagi melibatkan diri dalam aktiviti fizikal.
Ramai juga yang mungkin beranggapan adalah lebih baik untuk
menghentikan segala aktiviti fizikal seketika sehinggalah berakhirnya
Ramadhan. Malah, pendapat seperti ini nampaknya munasabah memandangkan
tubuh dikhuatiri akan kehilangan lebih banyak air jika menjalani latihan
senaman. Jadi, adakah senaman digalakkan pada bulan puasa?
Jurulatih kecergasan terkemuka, Kevin Zahri yang dihubungi Kosmo!
baru-baru ini berkata, senaman sepanjang Ramadan bukan sesuatu yang
diwajibkan tetapi digalakkan. Namun, semua ini bergantung kepada
ketahanan fizikal seseorang individu, jenis senaman dan masa
melakukannya.
Sebenarnya, sama ada mahu bersenam atau tidak, ia adalah pilihan
masing-masing. Tetapi, sudah tentu bersenam ketika bulan puasa ada garis
panduannya,” katanya.
Menurut Kevin, cabaran melakukan aktiviti fizikal dan senaman pada
bulan mulia ini terletak kepada masalah tubuh seandainya tersilap
memilih waktu dan bentuk senaman yang dilakukan.
“Keadaan iklim negara yang panas lembap mungkin menyebabkan tubuh
dehidrasi. Jadi, bergiat dalam aktiviti sukan atau kardio sebelum
berbuka tidak akan membantu. Sebaliknya, berpuasa dan aktif akan
menjurus kepada masalah kehilangan air.
“Melainkan jika anda ingin membakar lemak, maka melakukan aktiviti
ringan pada sebelah petang iaitu sebelum berbuka digalakkan. Berjoging
secara perlahan merupakan contoh terbaik,” jelasnya sambil menyifatkan
masa di antara 6.30 petang hingga 7 petang sebagai masa paling sesuai
melakukan aktiviti ringan.
Tempoh masa selama setengah jam sudah cukup ideal dan memadai agar tidak mengundang kepenatan serius.
…Jika tubuh sudahlah terlalu letih dan kepala terasa pening-pening atau tidak sihat, maka, anda patut ‘mendengar’ kepada diri. Hentikan senaman serta-merta…
“Jika tubuh sudahlah terlalu letih, ditambah pula berpuasa daripada
minum dan kepala terasa pening-pening atau tidak sihat, maka, anda patut
‘mendengar’ kepada diri. Hentikan senaman serta-merta,” tambahnya.
Aktiviti fizikal bagaimanapun tidak digalakkan pada sebelah pagi
selepas bersahur kerana bimbang akan menjurus kepada masalah dehidrasi.
Bagi mereka yang berhasrat untuk melibatkan diri dalam aktiviti
fizikal selepas berbuka, Kevin menasihatkan agar tidak terus
melakukannya sejurus selepas berbuka.
…katakanlah jika anda ingin melakukannya sekitar pukul 7.30 malam, jadi hidangan yang diambil ketika berbuka adalah ringan dan mudah dihadamkan…
“Tetapi, katakanlah jika anda ingin melakukannya sekitar pukul 7.30
malam, jadi hidangan yang diambil ketika berbuka adalah ringan dan mudah
dihadamkan,” pesannya.
Biar pun dengan lambakan dan godaan makanan serta kecenderungan makan
setelah lebih 12 jam berpuasa, Kevin memberitahu, kebanyakan orang akan
kehilangan berat badan sepanjang Ramadan.
Jelasnya, amat sukar berat seseorang bertambah pada Ramadan tidak
kira betapa banyak yang telah dimakan. Ini kerana hidangan yang diambil
sepanjang mengerjakan ibadah puasa tidaklah sebanyak berbanding diet
pada hari-hari biasa.
Tambahan pula, kata Kevin, kurangnya selera makan dan keletihan
sewaktu bersahur menghalang seseorang daripada makan berlebihan. Atas
sebab itu, kebanyakan kita akan kehilangan sedikit berat badan dan otot
tanpa perlu berusaha kuat.
Dalam pada itu, Kevin menegaskan agar latihan atau senaman berat
(angkat berat) harus dielakkan ketika berpuasa. Tubuh yang kekurangan
nutrisi tidak mempunyai tenaga bagi menampung senaman berat. Tambahan
juga, jika anda bertegas melakukannya, anda mungkin menghadapi masalah
mengecaj semula nutrisi yang hilang.
…untuk senaman berat ketika berpuasa, tubuh bukan sahaja tidak mempunyai tenaga untuk melakukannya tetapi badan akan memecahkan otot untuk sumber tenaga, jadi, ia satu kerugian…
“Jika hendak lakukan senaman berat ketika berpuasa, tubuh bukan
sahaja tidak mempunyai tenaga untuk melakukannya tetapi badan akan
memecahkan otot untuk sumber tenaga, jadi, ia satu kerugian,” katanya.
Bagaimanapun, seperti juga aktiviti atau latihan kardio yang lain, senaman berat boleh dilakukan selepas berbuka.
“Asalkan tubuh menerima hidangan sebelum bersenam dan dicaj semula dengan hidangan pasca-senaman, senaman berat boleh dilakukan.
“Memandangkan amat sukar untuk membentuk otot pada Ramadan, maka
jadikanlah ini masa yang baik bagi melatih mengekalkan sebarang jirim
otot yang telah diperoleh sebelum Ramadan,” jelasnya.
Apa pun pilihan anda, sama ada bersenam atau tidak, Kevin menyarankan
agar tidak mengambil makanan berlebihan dan bersenam selepas itu.
sumber: Kevinzahri.com
sumber: Kevinzahri.com
No comments:
Post a Comment